Pembuka selera ini cukup dikenali sebagai Sambal Hitam yang sangat terkenal di Pahang Barat. Sambal hitam ini cukup unik dan hanya boleh ditemui di sekitar Jerantut, Kuala Lipis dan Raub.
Antara bahan terpenting untuk membuat sambal hitam ialah belimbing buluh yang rasanya sangat masam, bahan wajib ini rasanya sangat baik untuk awet supaya tahan lebih lama, banyak tumbuh di kampung dan sesuai sangat dengan iklim di Malaysia termasuk di negeri Pahang itu sendiri.
Sesuai makan dengan nasi untuk penambah selera anda, cicah dengan ubi rebus juga sangat sesuai, cicah lempeng dengan sambal hitam, cekodok atau cucur untuk minum petang bersama dengan keluarga, cekodok yang tak sedap tadi akan jadi lebih sedap kalau ia cicah dengan sambal hitam, terliur je dengarkan.
Apa tunggu lagi, jom buat Sambal Hitam Pahang!
- belimbing buluh ikut banyak mana yang anda mahu
- garam secukup rasa
- 10 tangkai cili padi kalau suka pedas boleh tambah lagi
- 1 genggam ikan bilis
- 3 ulas bawang besar
- 1 sudu besar asam belimbing buluh
- garam secukup rasa
- sedikit kunyit takder pun takper
- Cuci buah belimbing buluh sebersihnya.
- Masukkan ke dalam kuali.
- Tak perlu isi air sebab buah belimbing itu akan keluarkan airnya sendiri.
- Masukkan garam.
- Masak sehingga buah belimbing tadi betul-betul kering atau kecut dan bertukar menjadi warna kehitaman (bukan hangus) lebih kurang 3 jam 🙂
- Basuh dahulu semua bahan sebersihnya.
- Rendam ikan bilis dalam air seketika (3 hingga 5 minit)
- Tumbuk cili padi,bawang besar dan ikan bilis hingga separa lumat.
- Kemudian masukkan asam belimbing dan tumbuk lagi hingga bahan-bahan tersebut sebati.
- Panaskan minyak dan masukkan sedikit kunyit.
- Masukkan bahan yang di tumbuk tadi ke dalam kuali.
- Tumis hingga garing.
- Masukkan garam secukup rasa.
Untuk membuat Asam Belimbing Buluh, jangan gunakan kuali yang baru atau cantik kalau anda tak mahu ianya rosak sebab buah belimbing mengandungi asid yang boleh menghakis kuali anda. Seeloknya guna kuali yang sudah buruk atau lama.
Asam ini bolehlah di simpan di dalam bekas dan boleh digunakan untuk tempoh yang sangat lama.